muqaddimah yang baek utk blog ni..same2 renungkan..
Perayaan adalah sesuatu yang mengiringi fitrah kehidupan manusia. Ia adalah hari manusia memecahkan rutin kehidupan dengan melakukan sesuatu yang dikhususkan pada hari berkenaan dengan tujuan yang pelbagai. Kerana itulah, setiap bangsa manusia mempunyai perayaan mereka yang tersendiri. Ia disambut dengan pelbagai cara, dengan sebab, “˜sempena”™ dan matlamat yang berbeza-beza.
Islam sebagai cara hidup fitrah yang telah Allah sempurnakan ciri-ciri dan kemampuannya, turut menggariskan perayaan bagi umatnya. Sebagai umat Islam, perayaan turut menjadi salah satu cabang hidup yang mesti kita tempuhi mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Hadith Abu Daud yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A secara jelas menegaskan bahawa Allah SWT telah memperuntukkan bagi umat Islam dua perayaan bagi menggantikan segala bentuk keraian yang diwarisi dari zaman jahiliah dan sumber yang tidak Islam. Dua perayaan berkenaan adalah Aidilfitri dan Aidiladha. Inilah dua hari yang bukan sahaja menjadi hari perayaan, bahkan Allah SWT menuntut kita agar tidak alpa dari me”raya”kannya. Puasa yang menjadi ibadah yang dipuji Allah, diharamkan pada dua hari berkenaan supaya umat Islam menyambutnya dengan sempurna dan tidak berlebih-lebihan di dalam ibadah sehingga ia “˜disangka taqwa”. Akan tetapi, dengan pertemuan Islam bersama bangsa lain, dan nilai iman yang corot, umat Islam mula meniru amalan yang tiada kena mengena dengan agamanya. Apatah lagi di dalam keadaan mereka yang bermastautin di negara bukan Muslim.
Di suatu ketika, seorang sahabat Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang dahulunya seorang Nasrani, iaitu ‘Adi bin Hatim radhiyallaahu ‘anhu, bertanya kepada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
Siapakah yang dimaksudkan dengan al-maghdhoob ‘alayhim (golongan yang dimurkai Allah) seperti yang tersebut di dalam surah al-Fatihah? Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjawab, “mereka itu adalah Yahudi”. Adi bertanya lagi: siapakah pula yang dimaksudkan sebagai al-dhaalloon (golongan yang sesat) itu? Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjawab, “mereka itu adalah Nasrani”. Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan Ahmad serta dinilaikan sebagai sahih.
“Barangsiapa yang meniru atau berkumpul meramaikan sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka”
Menjelang 14 Februari, kaum Nasrani dan masyarakat Barat sibuk meraikan Hari Valentine. Hari Kekasih yang disandarkan secara sejarahnya kepada Valentine of Rome, peristiwa mengenang Saint Valentine yang dikebumikan di Via Flaminia sekitar tahun 269M. Hari Valentine yang mengalami pelbagai penafsiran di sepanjang sejarah Eropah Moden akhirnya menjadi hari memuja kekasih, tidak terhad hanya kepada nilai, cara hidup dan kaum Nasrani di Barat, malah akhirnya menyerap sebagai budaya kaum Asia. Malang sekali, ritual yang tidak punya sebarang kaitan dengan kita sebagai kaum Muslimin, sedikit demi sedikit terserap sebagai budaya dan amalan anak-anak muda kita. Perlu ditegaskan, seorang suami berkewajipan menghargai sang isteri, begitu juga seorang isteri terhadap suaminya. Ia adalah sebesar-besar ajaran Islam. Namun penghargaan yang ingin diberi, telah ada caranya menurut ajaran Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Tidak seharusnya kita mengambil ritual kaum lain, apatah lagi dosa di atas dosa, tatkala penghargaan itu adalah pada sebuah perhubungan di luar akad perkahwinan!
Para kekasih dan teman akrab, pada hari itu, akan saling menjadi musuh di antara satu sama lain, kecuali mereka yang bertaqwa” [al-Dzukhruf 43: 67]
Jika mahu membalas cinta, balaslah dengan cara yang menyampaikan dua kekasih itu ke syurga. Bukan cinta berbalas dosa.Bukanlah soal bunga ros atau sekeping kad itu yang menjadi persoalan, tetapi kemusnahan jati diri sebagai seorang Muslim, dan sikap terhegeh-hegeh meniru segala yang datang daripada Barat itulah yang menjadi persoalannya.
Kamu akan mengikuti sunnah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak (dhab) nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?” - [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Setiap masa, suami tanyalah kepada isteri dan isteri tanyalah kepada suami, di manakah anak-anak kita. Jangan tidak lekatnya mereka di rumah itu, rupa-rupanya mereka sedang berbondong-bondong masuk ke lubang biawak Yahudi dan biawak Nasrani.
Jika benar kita mahu membuktikan kasih sayang, maka buktikanlah ia menerusi cara Islam yang halal, indah, penuh barakah dan tiada kesan sampingan. Tanpa perlu menunggu 14 Februari, berkahwin adalah Sunnah Nabi SAW, yang jika kita serius ke arah itu, susunkanlah agenda hidup ke arahnya dengan baik. Usahlah dibazirkan wang untuk membeli bunga ros, kad-kad ucapan, atau candle light dinner di restoran-restoran mahal, kerana semua itu adalah keindahan yang menjadi pagar-pagar kemurkaan dan neraka Allah SWT. Kumpulkan wang dengan baik, beli buku yang mengajar cara hidup rumah tangga Islam dan laluilah 14 Februari ini seperti kita melalui hari-hari yang lain, iaitu dengan mengulangkaji pelajaran, menghadiri majlis-majlis ilmu, beribadah dan berlumba-lumba mengejar kebaikan.
Semoga Allah mengurniakan kebaikan untuk kita semua.
Wallahu A'lam bi As-Sawaab.
My Braces Journey
4 years ago
No comments:
Post a Comment